Viral merangkak bawah kawat duri, polis buru dua penagih lari dari kawasan PKPD

POLIS sedang giat memburu dua individu lelaki yang dipercayai penagih dadah yang telah melarikan diri dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam yang kini di bawah arahan PKPD.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pantai sebaik sahaja insiden tersebut tular di media sosial.

Kedua-dua mereka dikatakan telah melarikan diri menerusi laluan belakang sungai PPR tersebut apabila berjaya melepasi halangan kawat duri.

Kejadian yang tular di media sosial berdurasi 2 minit 4 saat itu menyaksikan cubaan kedua-dua lelaki berkenaan melepasi kawat duri dalam keadaan meniarap.

Anuar Omar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur sehingga 14 Julai.