Ular Sawa Gergasi Muncul Di Elmina

PETALING JAYA – Penduduk di sekitar perumahan Elmina, Shah Alam dikejutkan dengan sebuah video tular memaparkan seekor ular sawa bersaiz gergasi sedang melingkar menaiki sebuah bukit.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @yayaaazmi di Twitter, semalam, difahamkan berita tersebut dikongsi oleh salah seorang penduduk dalam kumpulan komuniti Denai Alam.

“Ular sawa ke anaconda jumpa dekat area Elmina. Dirakam oleh salah seorang penduduk dan dimuat naik dalam kumpulan komuniti Denai Alam.

“Seram besar macam ini, bukan takat orang, ini lembu atau kambing pun dia telan je ni. Saya tak tahu perkembangan terkini, tetapi harap ular tersebut ditemui segera,” ciapnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk di kawasan perumahan tersebut, dikenali sebagai Mustakim Ismail, turut mengesahkan perkara itu di ruangan komen.

Ujarnya, kelibat haiwan reptilia bersaiz gergasi itu dilihat oleh budak-budak menaiki basikal dan sehingga kini masih belum dapat ditemui lagi.

“Kawasan ni di Elmina Green, bukannya dekat Elmina Valley. Mereka dalam kumpulan WhatsApp kata masih belum temui sampai sekarang,” ciap Mustakim.

Sehingga kini ciapan tersebut mendapat lebih 4,481 ulang ciap dan 5,205 tanda suka.

Tinjauan Kosmo! mendapati ramai yang terkejut dan panik melihat ular bersaiz gergasi yang tidak pernah dilihat di kawasan perumahan tersebut.

“Dahsyat, besar sangat ni. Dah macam dalam filem Anaconda dah saiz dia tu. Manusia pun mungkin dia boleh telan ni,” komen Aiminisugi.

“Elmina ni kawasan sawit. Masa saya kecil, kawasan itu pokok je. Elmina pun tengah nak buat perumahan baru. Jadi, habitat ular sawa terancam,” ciap Alif.

“Memang ada pernah nampak di Bukit Cerakah, sebab kawasan itu memang habitat dia. Tapi sayang sebab sikit-sikit kena tarah. Jadi dia berpindahlah tempat lain,” ciap seorang pengguna yang lain pula.

Sumber : Kosmo