Seorang Ahli ‘Geng Nicky’ Dibebaskan Daripada Lapan Pertuduhan Selepas Membayar Kompaun Kepada LHDN Berjumlah RM4.174 Juta

Foto : Utusan Malaysia

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang dikaitkan dengan ‘Geng Nicky’ dilepas dan dibebaskan daripada lapan pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas tertuduh membayar kesemua kompaun kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM4.174 juta.

Hakim Norazlin Othman memerintahkan tertuduh Liow Wei Kin, 30, demikian selepas peguamnya Datuk Rajpal Singh memberitahu anak guamnya membayar kesemua kompaun kepada LHDN tersebut pada 3 Julai lalu.

Mahkamah dimaklumkan Wei Kin yang merupakan adik kepada Liow Soon Hee (Nicky) membayar denda di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sebanyak RM2.197 juta dan Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Harap 2001 (AMLATFPUAA), RM1.949 juta.

Menurut Rajpal, kompaun tersebut dibayar dan terdapat resit pembayarannya.

“Ini adalah satu resit yang mana pertuduhan ini tidak boleh disempurnakan, kene lepas dan dibebaskan kerana permohonan ini tidak boleh dibatalkan.

“Selain tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, mohon tertuduh lepas dari syarat jaminan dan kesemua wang jaminan dipulangkan,” katanya, hari ini.

Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut sebelum memaklumkan Wei Kin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan serta memerintahkan wang jaminan dikembalikan dan dilepaskan daripada syarat tambahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin memberitahu mahkamah Wei Kin membayar kompaun tersebut kepada kerajaan melalui LHDN, susulan itu memaklumkan kesemua pertuduhannya dibatalkan.

“Bagi kes ini satu persetujuan penyelesaian dicapai apabila kadar kompaun terhadap tertuduh dan hasil daripada kadar kompaun tersebut, tertuduh membuat pembayaran dengan jumlah kesemuanya RM4.174 juta kepada kerajaan melalui pembayaran kepada LHDN.

“Mohon pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan (untuk semua pertuduhan) memandangkan kompaun dibayar,” ujarnya.

Wei Kin sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada 21 September 2021 bagi berdepan pertuduhan gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan dan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul masing-masing di bawah Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Selain itu, beliau turut dituduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM779,894.65 dan dituduh di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001.

Kesemua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di pejabat LHDN Petaling Jaya sekitar 2017 hingga 2020.

Sabit kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, beliau boleh dikenakan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM10,000 serta penalti khas dua kali ganda daripada amaun cukai yang terkurang bayar.

Bagi kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi. 

Sumber : Utusan Malaysia