Penangan punggung Hamilton, kerusi plastik dijual hampir RM3,000?

HANYA kerana kerusi plastik yang diduduki juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton, seorang individu dikatakan mengaut keuntungan dengan menjualnya dengan harga hampir RM3,000.

Baru-baru ini, bintang F1 itu dikhabarkan berada di Malaysia bagi menghadiri program Petronas Welcome Home Programme.

Pemandu Mercedes itu dikatakan sedang duduk sebentar menggunakan kerusi plastik itu sewaktu berada di sebuah stesen minyak Petronas di sekitar kawasan Ampang.

Turut bersama Hamilton ketika itu merupakan rakan sepasukannya, George Russell.

Penjual yang dikatakan pantas mencari peluang itu telah memasarkan kerusi plastik itu di platform e-dagang Shopee lengkap bersama gambar Hamilton sewaktu sedang duduk di kerusi tersebut.

Difahamkan harga yang dibuka juga tidak masuk akal apabila dijual dengan kadar £525 bersamaan dengan (RM2,915).

Penjual yang menyifatkan barang berkenaan sebagai ‘rare’ itu tidak cukup dengan hanya meletakkan harga yang ‘gila’ malah turut membalut kerusi tersebut sebagai lambang mengekalkan bekas tempat duduk Hamilton.