‘Nama saya Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta’

MAK aiii panjangnya nama. Seorang kanak-kanak lelaki di Indonesia menjadi viral di media sosial apabila namanya yang sepanjang 19 patah perkataan didedahkan dalam satu rancangan televisyen tempatan, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal portal Suara.com kelmarin, nama kanak-kanak itu ialah Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta.

Nama itu menjadi viral di media sosial apabila seorang pengguna Twitter dengan akaun bernama @ryawinningson memuat naik tangkap layar kanak-kanak berkenaan sedang ditemu bual oleh sebuah stesen televisyen.

Kebanyakan warganet meluahkan rasa simpati terhadap kanak-kanak berasal dari Tuban, Jawa Timur itu yang mungkin berdepan kesulitan disebabkan namanya yang terlampau panjang.

“Bayangkan kanak-kanak ini tidak lulus ujian kerana menulis nama sehingga mengambil masa sejam,” tulis seorang pengguna Twitter.

“Jika sedang bermain dengan rakan-rakan, pasti dia dipanggil dengan nama bapa kerana nama sendiri terlalu panjang untuk diingat orang,” komen seorang lagi.

Sumber: Kosmo!