Lelaki Buntu Tidak Dibenarkan Sewa Rumah, Ditolak Hanya Kerana Berbangsa India

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Seorang lelaki berbangsa India berang selepas beberapa percubaan untuk menyewa rumah gagal gara-gara sikap penyewa yang didakwa memainkan sentimen perkauman sehingga tidak berlaku adil.

Dalam satu hantaran di Twitter miliknya, lelaki itu buntu kerana sudah lebih sebulan mencari rumah baharu untuk disewa, namun semuanya ditolak hanya kerana berbeza bangsa.

“Saya sangat kecewa, menjadi seorang pendidik yang bertanggungjawab, tidak merokok dan tidak minum alkohol langsung tidak membantu saya terlepas daripada diskriminasi perkauman terutamanya dalam mencari tempat untuk disewa,” katanya.

Dakwa lelaki itu, ini bukan kali pertama dia dilayan sebegitu dan rata-rata penyewa hanya mengutamakan bangsa Melayu dan Cina.

“Diskriminasi yang ditonjolkan ini bercanggah dengan prinsip keadilan dan hak sama rata di negara ini,” tambahnya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapat orang ramai bersimpati dengan keadaan yang dialami lelaki itu terutamanya di negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Saya sangat bersimpati perkara ini terjadi kepada awak,” komen Nurul Naziefa.

“Ini ialah satu benda yang tidak boleh diterima. Saya harap awak akan dapat mencari tempat yang sesuai memenuhi apa yang dicari,” kata Rita.

Sumber : Kosmo