KKM siasat tepung pelita ada inti rambut

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak sudah mengenal pasti pembeli yang mendakwa terdapat rambut di dalam kuih tepung pelita di sebuah bazar Ramadan di negeri tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin, pihaknya juga telah mengenal pasti lokasi bazar berkenaan yang telah tular di media sosial.

Setakat ini, sampel kuih berkenaan juga telah diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak untuk siasatan.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan, pengadu telah dikesan dan diminta untuk tampil ke PKD Hilir Perak untuk membuat aduan secara rasmi.

“Bapa pengadu iaitu individu yang membeli makanan yang tercemar tersebut telah hadir ke PKD untuk membuat aduan secara rasmi dan makanan yang diadukan masih disimpan telah diserahkan kepada pihak pegawai penyiasat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai gambar tular tersebut, sudah menjadi tanggungjawab peniaga untuk memastikan tahap kebersihan selain menyatakan kes tersebut yang akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Tambahnya, mana-mana pelanggan yang berdepan sebarang masalah berhubung isu kualiti makanan diminta tampil untuk membuat aduan.

Perkara itu boleh dibuat menerusi laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan, secara jumpa terus ke PKD terdekat atau Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak.