Jabatan Agama Terengganu sudah lama pantau kedai air buah viral, netizen jijik tonton aksi geng motosikal selamba peluk pelayan wanita

berita viral

SATU siasatan sedang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berhubung satu video yang tular memaparkan aksi beberapa lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang pelayan wanita di sebuah kedai makan di Setiu.

Memetik laporan Harian Metro, Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

“Premis ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian adalah tidak benar kerana premis ini sedang dalam pemantauan.

“Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.

“Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Video berdurasi 34 saat itu tular sejak semalam apabila sekumpulan ‘geng motosikal’ tanpa segan silu bergambar sambil memeluk pelayan wanita itu.

Kejadian itu turut menimbulkan keresahan netizen dan menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Bagaimanapun hasil tinjauan The News, video tersebut telah dipadam daripada akaun asal laman TikTok yang mula berkongsi rakaman itu.

Restoran berkenan dikatakan menjadi ‘port’ singgahan popular kumpulan konvoi bermotosikal bagi ‘menjamu mata’ aksi ghairah pelayan wanita tersebut yang terkenal di laman sosial.

Sumber: Harian Metro