Budak kecil selak baju merengek nak menyusu, sekali rupa-rupanya….

BAGI sesiapa yang mempunyai anak kecil, sudah pasti ‘masak’ dengan tabiat mereka yang meragam atau merengek sewaktu tengah malam untuk menyusu,Lapor Mstar.

Begitu juga halnya apabila si manja baharu terjaga daripada tidur, sudah pasti mereka akan mencari-cari kelibat ibu kerana dahaga atau lapar

Namun berlainan pula dengan kisah dialami oleh seorang pemuda ini apabila dia menjadi ‘sasaran’ anak buahnya yang ‘mamai’ kerana disangka ibu kepada anak kecil terbabit.

Menerusi video berdurasi 24 saat yang dimuat naik oleh pelayar tersebut, kelihatan anak buahnya terus menerpa ke arahnya sebaik sahaja terjaga daripada tidur dan menyelak bajunya untuk menyusu.

“Anak sedara aku baru bangun. Dia mamai pastu datang kat aku sambil tarik baju aku nak susu. Dia ingat aku mak dia ke woi. Tau la rambut aku panjang. Lepas ni aku potong la rambut,” tulisnya pada kapsyen berkenaan.

Sehingga kini posting tersebut meraih 5,400 retweet dan mecatatkan jumlah tontonan melebihi 100,000 sejak dimuat naik dalam tempoh 24 jam.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Muhamad Haziq Aiman Hairpuddin berkata insiden lucu itu berlaku minggu lalu ketika dia berkunjung ke rumah kakak saudaranya yang terletak di Kuala Krau, Temerloh, Pahang.

“Saya selalu berkunjung ke rumah kakak saudara sejak bantunya berniaga. Rumah kami tak jauh pun, saya menetap di Taman Temerloh Jaya dan selalu ulang alik kalau bekerja. Masa insiden tu, kami sedang bersantai di ruang tamu.

“Entah macam mana, Hadif tiba-tiba terjaga. Dia dah terpandang ibunya, kemudian dia pandang saya pula… lepas tu spontan dia menerpa ke arah saya dan terus selak baju. Agaknya dia tengah mamai.

“Bila kami dah gelak-gelak dan beritahu di mana ibunya, barulah dia lari dapatkan ibunya dan malu-malu,”ujar pemuda ini ketika bercerita mengenai anak buahnya yang berusia dua tahun itu.

Menurut pemuda berusia 24 tahun ini yang senang disapa sebagai Haziq, insiden kekeliruan tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

“Sebenarnya ada tiga atau empat kali juga Hadif tersilap orang dan sangka saya ini ibunya. Kejadian sebelum ni, dia hanya minta dukung sahaja.

“Tapi yang kali ini pula dia merengek-rengek minta susu dan sempat dirakam. Sebenarnya saya suka kanak-kanak tapi dalam video tu reaksi muka saya terkejut sebab tak sangka tindakan spontannya tambah pula dia merengek-rengek,” ujarnya yang juga seorang juruvideo bebas.

Dalam pada itu, Haziq juga tidak menyangka perkongsiannya yang dibuat secara suka-suka meraih perhatian ramai.

“Niatnya sekadar nak share video lucu sahaja… tak sangka pula ramai yang retweet. Malah ada yang kongsi pengalaman yang sama.

“Tapi ada juga seorang netizen yang komen, katanya kalau insiden yang sama berlaku padanya, dia nak ‘jentik’ budak tu. Bagi saya, tak perlu kot… lagipun itu kan budak-budak.

“Bagi yang komen positif dan terhibur, terima kasih saya ucapkan. Saya gembira ramai yang suka, sedikit sebanyak boleh hiburkan hati di kala kita sedang dilanda waktu sukar ketika ini,” ujarnya lagi.

sumber: Mstar