Tular Video Lama Menteri ‘Shopping’ Barang Dapur RM200, Hanya Fitnah Semata

Foto: The Rakyat Post

KUANTAN, 22 September- Dakwa video tular membabitkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh bersifat fitnah dan menghasut rakyat, pejabatnya tampil membuat laporan polis semalam.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Laporan itu dibuat menerusi Pegawai Khasnya, Aidil Haryman Mat Nor, berhubung sebuah video tular berkenaan harga barang yang melibatkan timbalan menteri berkenaan.

Menerusi laporan itu, Aidil Haryman memaklumkan laporan polis dibuat bertujuan supaya siasatan segera dilaksanakan terhadap beberapa pengguna media sosial, yang catatan mereka dilihat berunsur fitnah dan menghasut rakyat agar mempercayai video lampau, yang tidak berkaitan dengan keadaan semasa.

“Saya merasakan bahawa perbuatan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan spekulasi serta menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang menteri kabinet Malaysia, selain meremehkan usaha beliau sebagai seorang Timbalan Menteri.

“Tulisan tersebut dengan sengaja mengaitkan dan mengaibkan Timbalan Menteri dengan tujuan menyakiti dan memfitnah beliau,” katanya.

Aidil Haryman berkata tujuan asal video tersebut dibuat sebelum ini, untuk menunjukkan perbandingan harga Jualan Rahmah Bergerak, dengan harga yang diperolehi dari sebuah pasar raya tempatan di Pulau Langkawi, Kedah dan bukannya barang keperluan satu keluarga untuk sebulan.

Namun, video itu telah disunting oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan oleh individu yang dipercayai dengan niat menghina dan mendatangkan kemarahan rakyat.

Terdahulu, Fuziah dilaporkan berkata video yang melibatkan dirinya itu telah diambil di luar konteks dan ia merupakan rakaman lama yang dibuat beberapa bulan lepas.

Video berkenaan memaparkan beliau membayar beberapa barangan berjumlah RM136.30 dan berpuas hati kerana dapat membelinya pada harga bawah RM200.