Presiden parti politik Sabah ditahan tipu jualan kad dokumentasi kepada individu tiada kewarganegaraan

berita terkini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, melalui satu sidang media khas di Bukit Aman sebentar tadi mendedahkan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohd Arshad Abdul Mualap dituduh di Mahkamah Shah Alam pagi tadi selepas terbabit dalam aktiviti penipuan penjualan kad program pengumpulan data maklumat dokumentasi orang tiada kewarganegaraan.

Mohd Arshad, 46, dan seorang lagi individu Mohamad Amkah Ahmad, 48, ditahan di Subang Jaya, pada 22 Jun lalu, lapor Berita Harian.

Menurut Hamzah, kedua-dua mereka dipercayai menipu orang tiada warganegara dengan menawarkan kad data dilengkapi pengimbas kod QR.

Mereka dikatakan mula aktif sejak sejak awal tahun ini.

Foto:Natrah

Tegas Hamzah, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad pengenalan.

“Saya meminta mana-mana pihak terutama kepada mana-mana individu bukan warganegara supaya tidak tertipu dengan taktik sebegini.

“Kita tidak menolak kemungkinan Mohd Arshad yang mendaftarkan parti pada tahun 2017 dan menjadikan dirinya sebagai Presiden menggunakan parti untuk mendapatkan kepentingan dirinya sendiri dan melakukan kegiatan penipuan ini,” katanya kepada Berita Harian.

Hamzah menjelaskan beliau menerima maklumat mengenai kegiatan penipuan itu daripada individu bukan warga Malaysia ketika berada di luar negara sebelum membincangkannya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Susulan itu Ketua Polis Negara, mewujudkan satu pasukan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor dan Bukit Aman yang kemudiannya melakukan serbuan ini dan menahan suspek,” katanya.

Sumber: Berita Harian