Suspek yang sama! Peragut dah cuba ‘buat hal’ di restoran Gombak sebelum tumbuk muka wanita di farmasi Setapak

DUA lelaki yang bertindak melakukan jenayah ragut di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak pada Sabtu lalu dikatakan cuba meragut seorang wanita sejam sebelum itu, lapor Kosmo!

Kegiatan dua suspek itu terbongkar selepas dua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan cubaan ragut itu viral di media sosial hari ini.

Rakaman berdurasi 35 saat itu menunjukkan suspek memakai baju lengan panjang berwarna kuning cuba meragut beg tangan seorang wanita yang baru keluar dari sebuah restoran.

Selepas cubaan ragut itu gagal, suspek dilihat melarikan diri bersama rakannya yang memakai baju-T berwarna hitam.

Tangkap layar menunjukkan suspek cuba meragut beg tangan seorang wanita di sebuah restoran di Prima Sri Gombak sebelum dipercayai menuju ke sebuah farmasi di Setapak. – Gambar kredit: Kosmo!

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 38 tahun berhubung beg tangannya cuba diragut di sebuah restoran di Prima Sri Gombak pada Sabtu lalu.

“Kejadian berlaku pada pukul 7.35 malam dan suspek gagal meragut susulan mangsa memegang erat beg tangannya sebelum menjerit meminta bantuan.

“Susulan kejadian itu, suspek dan rakannya bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DISYAKI suspek yang sama… Tangkap layar menunjukkan suspek meragut rantai leher sebelum menumbuk mangsa dalam kejadian di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak, Sabtu lalu selepas gagal meragut seorang wanita di sebuah restoran di Prima Sri Gombak sejam sebelum itu. – Gambar kredit: Kosmo!

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Khalpna atau Asisten Superintendan Kolanthai Velu di talian 03-6126 2222 atau 019-257 9232.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita menjadi mangsa ragut selain mukanya ditumbuk suspek dalam kejadian di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak.

Dalam pada itu, kedua-dua suspek berusia 31 dan 40 tahun itu akhirnya diberkas di sebuah hotel di Pudu, Kuala Lumpur pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil pemeriksaan polis merampas pakaian yang digunakan kedua-dua suspek ketika melakukan jenayah ragut di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak.

Katanya, hasil siasatan lanjut suspek mengaku telah menjual barang kemas yang disamun kepada pihak ketiga yang kini masih dikesan.

Kedua-dua suspek berjaya diberkas di sebuah lobi hotel di Pudu awal pagi tadi. – Gambar kredit: Kosmo!

“Semakan lanjut mendapati suspek berusia 31 tahun itu mempunyai 21 rekod jenayah dan dadah manakala rakannya pula mempunyai lima rekod lampau selain dikehendaki polis bagi kes dadah.

“Hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam kes samun dan curi kenderaan di sekitar Setapak dan Sentul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan suspek dilaporkan hilang bersangkut laporan di Cyberjaya.

Menurutnya lagi, permohonan reman terhadap dua suspek itu akan dilakukan hari ini.

Sumber: Kosmo!