MB Perak gagal peroleh majoriti, akan berlaku peralihan kuasa?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi usul undi percaya terhadapnya hari ini.

Perkara itu menyaksikan 48 undi tidak menyokong usul berkenaan manakala hanya 10 undi yang menyokong serta satu undi rosak dan berkecuali.

Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 59 Adun bagi negeri Perak.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid sebaik sahaja mengumumkan keputusan undi belah bahagi dilakukan menggunakan kertas undi diedarkan.

Terdahulu, menerusi surat bertarikh 18 November, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim berkata Ahmad Faizal yang yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.

Setakat ini 59 ADUN di negeri Perak terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.

Krisis politik di Perak tercetus berikutan pelantikan Setiausaha Politik Ahmad Faizal, yang juga merupakan Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim yang dikatakan tidak mendapat persetujuan UMNO Perak.

Ketua Umno Perak, Saarani Mohammad mendakwa tindakan Ahmad Faizal telah membelakangkan UMNO serta melanggar prinsip setelah tergulingnya kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menerusi ucapannya berkata, beliau bersedia memberikan komitmen bagi proses seterusnya.

Faizal mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 pada Mac lalu.

Most Popular