Kempunan nombor plat XX 61, melayang duit RM14,800

DUIT hangus, nombor plat idaman pun tak dapat.

Hasrat seorang pekerja swasta di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk membeli nombor pendaftaran kenderaan secara online bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan kerugian wang sebanyak RM14,800 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket menjual nombor plat yang dipercayai tidak wujud semalam, lapor Kosmo!

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki berusia 50 tahun itu mula terpedaya oleh sindiket itu selepas melayari laman sosial Facebook baru-baru ini.

“Dia telah melihat satu iklan oleh sebuah syarikat yang menawarkan penjualan pelbagai nombor pendaftaran kenderaan pada Oktober lalu.

“Mangsa yang tertarik dengan nombor plat XX 61 terus menghubungi syarikat tersebut untuk membelinya dan bercakap dengan seorang ejen,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mangsa tertarik dengan iklan menjual nombor pendaftaran kenderaan di Facebook baru-baru ini. – Gambar kredit: Kosmo!

Noorzainy berkata, mangsa dan ejen itu bagaimanapun tidak pernah bertemu dan hanya berhubung melalui telefon sepanjang urusan tersebut berjalan.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata ejen itu telah membuat bayaran sebanyak tiga kali ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah RM14,800 dalam tempoh sebulan.

“Dia dimaklumkan bahawa akaun-akaun tersebut adalah milik ‘runner’ syarikat yang akan menguruskan pembelian nombor yang ditempah mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, lelaki itu bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas ejen terbabit gagal dihubungi sebelum membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo!