Lelaki maut dipukul isteri sendiri di Taman Daya, anak 11 tahun saksi kejadian

FOTO: BERNAMA

SEORANG lelaki maut dipercayai menjadi mangsa pukul isterinya sendiri dalam kejadian yang berlaku di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 7.50 pagi, lapor Astro AWANI.

Mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How ditemukan terbaring dalam rumah.

Lebih menyayat hati, kejadian turut disaksikan anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun.

Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Jelas Raub, pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Sumber: Astro AWANI