Hina OKU, satu lagi laporan polis dibuat terhadap ‘Kak Long 7E’

SATU lagi laporan polis telah dibuat Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) selepas kurang senang dengan tindakan Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long 7E yang seolah mengejek orang kurang upaya (OKU) melalui video yang dikongsi di laman media sosial.

Presidennya, Fakhruddin Zakaria, berkata laporan dibuat di balai polis Kuala Terengganu kira-kira jam 9.58 pagi selepas dia menerima beberapa hantaran video melalui aplikasi WhatsApp, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, video berkenaan memperlihatkan wanita terbabit melakukan penghinaan terhadap golongan OKU dengan mempamerkan aksi pergerakan badan dan mimik muka yang keterlaluan.

Katanya, laporan polis dibuat bagi memberi kesedaran kepada Wan Noor Baizura bahawa perlakuannya yang mengajuk dan mempersendakan OKU amat keterlaluan dan mengguris hati OKU secara keseluruhannya.

“Tindakan wanita terbabit yang tidak sensitif terhadap perasaan OKU mengakibatkan timbulnya rasa marah dalam kalangan kami apabila dihina oleh seseorang yang semata-mata ingin meningkatkan popularitinya di media sosial.

“Kami menggesa kerajaan segera menggubal atau mewujudkan akta yang membolehkan mana-mana individu atau pihak menghina golongan OKU dalam apa bentuk sekalipun dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ditemui Berita Harian di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Fakhruddin berkata, pihaknya berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyekat akaun sosial media wanita terbabit.

Katanya, tindakan wanita itu meminta maaf setiap kali selepas membuat video dan kemudian menerima kecaman adalah tidak wajar.

“Apabila salah dia memohon maaf dan kemudian mengulangi kesalahan itu lagi. Perbuatan seperti ini tidak bersesuaian, melainkan wanita terbabit dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 31 saat memaparkan Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long 7E menunjukkan mimik muka dan perwatakan seperti OKU tular di media sosial, sejak beberapa hari lalu.

Sumber: Berita Harian