Agong perkenan isytihar darurat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Dalam pada itu, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan dibuat sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.

Muhyiddin berkata, pilihan raya akan dibuat selepas jawatankuasa khas memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah pulih dan pilihan raya selamat diadakan.

“Ketika itu, terpulang kepada saudara saudari sekalian untuk memilih kerajaan,” katanya dalam perutusan khas darurat hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, semua sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Rakyat ujar beliau, diminta kekal tenang dan berikan kepercayaan kepada kerajaan untuk membendung Covid-19 dengan lebih berkesan. -TheNewsMalaysia