Will Smith ‘hadiahkan’ penampar kepada pelawak Chris Rock atas pentas, polis sedia buat siasatan

PELAWAK terkenal Chris Rock ditampar oleh pelakon Will Smith di acara Academy Awards ke-94 (Oscars) yang berlangsung sebentar tadi selepas membuat jenaka yang dikatakan mempersenda isteri Will Smith iaitu Jada Pinkett Smith.

Ketika kejadian, Rock yang muncul sebagai penyampai anugerah Dokumentari Terbaik mempersenda penampilan Jada Pinkett Smith yang botak.

Smith kemudian dilihat bangun daripada tempat duduknya dan terus meluru ke arah pentas.

Dia kemudian ‘menghadiahkan’ penampar kepada Rock.

“Wow! Will Smith bagi saya penampar,” kata Rock selepas ditampar oleh Smith.

Menuju ke tempat duduknya, Smith dilihat berjalan sampai memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.

“Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku,” katanya

Rock sebelum itu mempersenda Pinkett dengan menggambarkannya sebagai watak wanita berkepala botak dalam filem GI Jane 2 lakonan Demi Moore.

“Jada, saya sayang awak, GI Jane 2. Tak sabar nak tengok,” katanya.

Selepas ditampar, Rock sekali lagi menjelaskan kepada Smith bahawa itu hanyalah lawak mengenai filem GI Jane 2, namun Smith tetap melontarkan amaran sama.

Pinket yang berada di tempat duduk penonton hanya mampu memberikan ekspresi jelingan ‘rolling eyes’ tanda rasa menjengkelkan dengan sikap Rock.

Kelakuan Smith terhadap Rock dengan itu dapat didengar oleh penonton.

Audio kemudiannya dipadam untuk memastikan penonton di rumah tidak mendengar kata-kata kesat yang dilemparkan kedua-dua bintang Hollywood itu.

Sebelum ini, Pinkett pernah berkongsi mengenai alopecia dan penyakit autoimun yang menyebabkan rambutnya gugur.

Media antarabangsa melaporkan, Rock kemudiannya memohon maaf kepada Smith dan turut dileraikan oleh pelakon, Denzel Washington.

Memetik laporan terkini oleh portal Independent, Los Angeles Police Department (LAPD) telah mengeluarkan kenyataan tentang kejadian terbabit.

“LAPD sedar akan perkara yang terjadi.

“Bagaimanapun mereka yang terbabit enggan membuat laporan polis.

“Bagaimanapun kami bersedia untuk melakukan siasatan jika mereka mengubah fikiran untuk membuat laporan kelak, tulis kenyataan tersebut.