Shuib Kini Sah Menjadi Milik Watie, Mas Kahwin Sebanyak RM8,288 Bersama Tajaan RM1.7 Juta

PELAWAK dan penyampai radio Suria FM, Shuib sah bergelar suami kepada gadis pilihannya, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, dengan hanya sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang berlangsung di Putra Glass Hall, Shah Alam sekitar jam 8.47 malam Jumaat.

Pasangan berkenaan dinikahkan abang pengantin perempuan, Qadhaffi Hanifiah di hadapan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Selangor, Ustaz Zubairi.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 39, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh. Namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Usahawan itu turut ditemani empat cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni; 12, Dzahira Talita Zahra; 10, Ariq Matin; 8, dan Ayash Affan berusia dua tahun.

Hari bahagia pasangan berkenaan turut diraikan 600 tetamu termasuk keluarga dan teman rapat kedua belah pengantin.

Antara artis dan selebriti yang hadir meraikan pasangan mempelai ialah Fad Bocey, Marsha Milan, Fasha Sandha, Wan Sharmila, Nora Danish, Dafi, Haiza, MK K-Clique dan lain-lain.

Majlis pasangan ini mendapat tajaan RM1.7 juta termasuk barangan kemas.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Sumber gambar – mStar | Sumber laporan – Sinar Harian