Shila Amzah Sah Bergelar Isteri Kepada Ubai

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat bulan mengikat tali pertunangan, penyanyi Shila Amzah sah bergelar isteri kepada pempengaruh media sosial Ubai dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis akad nikah di Boathouse Ampang pukul 10.27 pagi tadi.

Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 33, menerima mas kahwin sebanyak RM 20,000.

Sementara itu, wang hantaran pelantun lagu Selamanya Cinta itu dirahsiakan.

Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh Ustaz Haji Mohamad Khairi Hussein dan berwakil walikan bapa pengantin perempuan, Datuk Amir Amzah Saleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala.

Sejurus akad nikah dilafazkan, Shila menitiskan air mata manakala, Ubai turut sebak selepas selesai akad.

Dalam majlis penyatuan hati tersebut, Ubai yang kelihatan segak mengenakan busana berwarna putih rekaan Zaimi Zulkafli menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.

Sebelum ini, pasangan itu selamat mengikat tali pertunangan secara tertutup pada Mei lalu.

Perkenalan pasangan merpati dua sejoli itu bermula selepas terlibat dalam insiden skuter pada awal Februari lalu.

Shila yang juga bergelar ibu tunggal kepada seorang cahaya mata pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Idraki Elias pada April 2018, namun bercerai pada Februari 2022. Hasil perkongsian hidup, Shila dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais. 

Sumber : Kosmo