Sakan dipeluk model dalam MV, Pak Azad lega tak kena tidur luar rumah

PELAKON terkenal Azad Jazmin berkata dia lega apabila isterinya yang juga seorang pelakon iaitu Eira Syazira memahami karakter ‘jejaka dilamun cinta’ yang dibawa dalam klip video singlenya berjudul Sarrekey.

Azad atau nama sebenarnya Azad Jasmin John Louis Jeffri, 45, bagaimanapun mendedahkan dia telah diberi peringatan awal oleh isteri supaya tidak berlebihan tambahan lagi apabila terpaksa melakonkan adegan berpelukan dengan seorang model wanita.

“Saya akui memang memang ada scene berpelukan dengan model wanita itu semasa adegan kami menunggang motosikal, tapi saya dah jelaskan sejak awal dengan isteri tentang adegan ini. Sebelum bernikah lagi kami juga ada berbincang tentang hal-hal sebegini. Malah saya juga sentiasa cuba memahami karakter yang dibawa isteri semasa dia berlakon.

“Kita tinggal di Malaysia, apa sangat yang kita boleh buat secara berlebihan untuk menunjukkan keakraban? Ia sekadar khayalan dalam jalan cerita dalam klip video tersebut,” jelas Azad kepada The News Malaysia.

Aksi mesra Azad bersama model, Sanjna Suri.

Dalam pada itu, Azad yang lebih mesra disapa Pak Azad juga meluahkan rasa kagum apabila isterinya turut memberi sokongan penuh apabila dia muncul dengan single hasil sentuhan Apak Harry Khalifah ini.

Azad juga sempat berseloroh apabila tidak diarahkan isteri untuk tidur di luar rumah apabila adegan berpelukan bersama model Sanjna Suri mendapat perhatian ramai.

Azad lega isteri memahami tuntutan kerja.

“Tidaklah sampai kena tidur luar, masih dapat tidur sekatil. Alhamdulillah Eira sangat memahami malah dia sendiri memuat naik posting di instagram tanda sokongan kepada saya. Malah dia pun ada semasa sesi rakaman klip video tersebut.

“Dia tak marah, tapi ada beri peringatan supaya tidak berlebihan. Ia cuma jalan cerita seorang jejaka Melayu yang tergilakan seorang gadis India,” seloroh Azad.

Dalam pada masa sama, Azad turut meluahkan rasa kelu apabila single yang dimuat naik 3 hari lalu itu mendapat komen memberangsangkan daripada pendengar.

Malah, ia berjaya menduduki carta trending #10 di Youtube serta mendapat lebih 350,000 kali tontonan setakat ini.

Single Sarrekey berjaya menduduki carta trending di Youtube.

“Saya sampai tak tahu nak rasa macam mana, terutamanya bila lagu ni trending Youtube, padahal saya ni dikenali sebagai seorang pelakon. Memang sesuatu yang baru dalam hidup saya.

“Dah lebih 20 tahun saya berkecimpung dalam bidang lakonan, tiba-tiba menyanyi dan jadi trending dalam 2 hari! Memang rasa luar biasa. semuanya gara-gara sentuhan penyanyi dan komposer Apak Harry Khalifah,” jelas Azad.

Single Sarrekey nyanyian Azad.