“Selesai Cara Orang Dewasa, Sosial Media Hanya Mengeruhkah Keadaan” – Dynas

Foto: Kosmo

SHAH ALAM – Susulan sensasi pergaduhan melibatkan selebriti wanita tempatan, aktres Dynas Mokhtar berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan kemelut antara mereka cara orang dewasa.

Kata Dynas atau nama lengkapnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, jika sebarang masalah dimuat naik dalam media sosial, peluang untuk berbaik semula menjadi lebih sukar.

“Dalam adik-beradik pun kita mesti akan ada kecil hati dan bermasam muka, tetapi pasti akan baik balik.

“Sama juga macam berkawan. Kalau bergaduh masing-masing perlu bagi masa untuk berbaik kembali.

“Namun, apabila terkait unsur media sosial, itu akan mengeruhkan lagi keadaan kerana mulut orang akan tokok-tambah cerita,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Amanda Amry, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dynas turut kesal melihat ikatan persahabatan sebilangan selebriti di Malaysia menjadi keruh memandangkan pemain industri hakikatnya tidak begitu ramai.

“Saya rasa sedih tengok hubungan persahabatan yang tiba-tiba jadi tidak baik. Sayang.

“Industri kita tidak besar mana. Kalau pergi mana-mana acara pasti akan jumpa muka sama,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, pelakon Nabila Huda menuai perhatian ramai apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali aktres Nad Zainal dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.

Dalam wawancara bual tersebut, Nad memberitahu enggan mengambil kisah dan mengusutkan pemikirannya dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.

Fokusnya pada ketika ini ialah untuk suami dan anak-anak termasuk bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Spekulasi bermasam muka itu mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.

Selain Nabila, antara nama rakan selebriti lain yang terkait dalam isu ini ialah Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Marsha Milan. 

Sumber: Kosmo