Royalti P Ramlee Tamat Selepas 50 Tahun Pemergian, Sazali Masih Berharap Ada Lanjutan

SEMALAM genap 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei 1973 sekali gus menyaksikan tarikh royalti P Ramlee selama 50 tahun pemergiannya sebagaimana mengikut kontrak perjanjian yang diurus Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) tamat sepenuhnya.

Ia bermakna anak Allahyarham, Sazali, 64, tidak lagi mendapat bayaran royalti P Ramlee mulai tahun depan.

Sazali ketika dihubungi berkata, dia masih menaruh harapan positif dengan kerajaan supaya dapat meluluskan lanjutan kontrak royalti itu.

Namun, sehingga hari ini dia masih belum mendapat apa-apa berita gembira mengenai permohonan lanjutan kontrak royalti P Ramlee itu.

Sazali berkata, bayaran terakhir akan diterimanya ialah pada Ogos ini.

Menurutnya, dia berusaha keras memohon kerajaan dapat meluluskan lanjutan kontrak royalti berkenaan selama beberapa tahun lagi kerana memang bergantung dengan wang diterima untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membiayai kos rawatan kesihatannya bersama isteri, Hamidah Hitam, 61, yang semakin uzur.

“Saya hidup berdua dengan isteri menghadapi susah payah bersama. Kami tidak dikurniakan zuriat dalam perkahwinan. Sekarang, kami berdua sudah semakin berusia dan masing-masing ada masalah kesihatan.

“Walaupun menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900, ia memang tidak cukup untuk membiayai kos rawatan berjadual saya dan isteri yang dirujuk di hospital di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Sazali berkata, dia yang menetap di Semenyih, Selangor perlu menggunakan pengangkutan awam seperti khidmat e-hailing untuk ke hospital dan tambang dibayar juga mahal kerana mengikut jarak, selain kos sara hidup sekarang pun agak tinggi.

“Sekiranya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ingin datang melawat ke rumah meninjau kehidupan saya dan isteri bagi mengetahui keadaan dan permasalahan kami, saya menerima dengan hati terbuka.

“Saya tak malu pun jika menteri ingin datang ke rumah membuat lawatan kerana kontrak royalti arwah bapa yang diperjuangkan ini bagi membantu kelangsungan kehidupan saya dan isteri,” katanya.

Ditanya juga apakah dia sudah merujuk kepada MACP untuk keputusan lanjutan kontrak royalti itu, Sazali berkata, dia ada bertanya kepada beberapa pihak berkaitan, namun jawapan diterima masih belum mendapat keputusan kerajaan.

“Selagi belum sampai bulan Ogos, saya masih meletak harapan agar ada rezeki untuk kelulusan lanjutan kontrak royalti ini. Tapi, kalau kerajaan tetap tiada keputusan, saya terpaksa akur dan cuba mencari penyelesaian lain untuk menampung kehidupan.

“Kalau nak bekerja lagi, saya memang tidak boleh selepas mengalami kemalangan pada 2015 yang mengakibatkan lutut kanan dan pinggul patah dan dimasukkan besi. Disebabkan itu, saya juga pemegang kad OKU yang diberi oleh doktor,” katanya.

Hari ini tarikh royalti P Ramlee selama 50 tahun pemergiannya sebagaimana mengikut kontrak perjanjian yang diurus MACP sudah tamat.

Jadi, sekiranya kerajaan tidak menyambung kontrak yang tamat ini, Sazali tidak akan medapat bayaran royalti P Ramlee mulai tahun depan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan luahan hati Sazali yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini akan tamat tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan MACP sebagai badan pengutip royalti berdaftar itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

Sumber gambar – OH!BULAN | Sumber laporan – Harian Metro