PU Riz akhirnya ‘bersuara’, batal rakaman program TV sepanjang Januari

PENCERAMAH selebriti, PU Riz yang namanya dikaitkan dalam kontroversi melibatkan selebriti dan usahawan Neelofa yang memilih untuk berdiam diri sejak beberapa hari lalu ‘bersuara’ di media sosial.

Sekalipun tidak memberikan kenyataan yang jelas mengenai kemelut dalam hubungannya dengan artis berpengaruh itu, namun, perkongsian sebaris ayat al-Quran dalam hantaran di InstaStorynya menarik perhatian ramai.

PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, memuat naik sekeping gambar berserta sepotong ayat dalam bahasa Arab yang bermaksud sentiasa yakin dengan setiap perkara yang Allah telah aturkan.

And know that Allah SWT will resolve everything in the end, in a way you would never imagine (ketahuilah bahawa Allah SWT akan menyelesaikan segalanya satu hari nanti, dengan cara yang tidak pernah anda bayangkan),” tulis penceramah itu lagi.

Peminat dikejutkan dengan isu yang hubungan PU Riz dan Neelofa yang dikatakan berdepan dugaan.

Perkongsian pertama PU Riz yang juga pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu bagaimanapun masih dianggap ‘tergantung’ kerana tiada kenyataan susulan yang dibuat.

Sementara itu, sumber Astro AWANI berkata, PU Riz telah membatalkan kesemua undangan bagi menjayakan program televisyen.

“PU Riz sudah membatalkan semua rakaman program TV sepanjang bulan Januari. Beliau tidak dapat dihubungi,” kata sumber berkenaan.

Pada Ahad, Neelofa mengeluarkan kenyataan media menafikan segala dakwaan tidak berasas yang dilemparkan ke atas dia dan PU Riz.

Neelofa menegaskan, keluarga dia dan PU Riz kini dalam proses membincangkan mengenai masa depan mereka berdua.

Jelitawan berusia 31 tahun itu juga menafikan dakwaan terkena buatan minyak pengasih selain menyelar pihak-pihak yang membuat tuduhan dia memindahkan sejumlah wang yang besar jumlahnya kepada PU Riz.

Neelofa menerima kunjungan keluarga PU Riz bagi menyempurnakan majlis merisik 1 November lalu.

Kedua-dua mereka difahamkan sudah merancang untuk berkahwin sekitar Mac 2021.

Sumber: awani