Cha Cha Cinta taruhan pertama Yunadia

PENDATANG baharu, gadis kecil molek berasal dari Seri Iskandar, Perak, Syazreen Yunadia Mazlan atau bakal dikenali dengan panggilan Yunadia, hadir mempertaruhkan single pertamanya berjudul ‘Cha Cha Cinta’ ciptaan komposer terkenal, Iqie Hugh, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG).

“Alhamdulillah, syukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak AEG, cita-cita saya untuk muncul dengan single sendiri akhirnya tercapai. Terima kasih khasnya buat Dato’ KK Chua kerana mempercayai bakat yang saya ada sehingga dipilih menjadi artis di bawah naungan AEG,” kata Yunadia kepada The News.

Menurut siswazah Jurusan Pendidikan (TESL), perjalanan seninya bermula sejak kecil lagi di mana beliau sangat aktif menyanyi di sekolah dengan band yang dipanggil ‘Kombo Cili Padi’ sehingga pernah mewakili Malaysia ke Istanbul bagi sebuah festival kanak-kanak bertaraf antarabangsa.

Syazreen Yunadia Mazlan lebih mesra disapa Yunadia

“Segalanya bermula sebagai hobi dan lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang saya idamkan apabila dewasa kelak. Saya sering menyertai pertandingan nyanyian di peringkat universiti, asalkan ada pertandingan saja, saya akan mencuba nasib.

“Sehinggalah pada satu hari saya menghadiri ujibakat ‘The Audition’ yang dianjurkan oleh AEG, ternyata rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih sendiri oleh pengarah tersohor, saudara Michael Ang untuk maju ke peringkat seterusnya, setelah itu saya terus dipelawa untuk menjadi artis di bawah naungan AEG,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Berbalik pada single, Cha Cha Cinta adalah sebuah lagu romantis santai yang mengetengahkan irama cha cha yang jarang kedengaran pada masa kini, namun komposisinya yang bersahaja ditambah pula dengan paduan vokal Yunadia yang mantap, ternyata menyuntik rasa moden dan kontemporari terhadap lagu ini.

Cha Cha Cinta nyanyian Yunadia merupakan sebuah lagu romantis santai

“Sewaktu bertemu dengan saudara Iqie, beliau bertanya apakah jenis genre yang saya gemar, saya beritahu yang saya sukakan bunyi old-school seperti cha cha, pada mulanya beliau agak terkejut, namun saya percaya dengan kepakaran beliau dalam mencipta lagu, maka terhasillah Cha Cha Cinta.

Kalau diamati liriknya, lagu ini menceritakan tentang seorang gadis yang sedang memujuk buah hatinya agar tidak merajuk terlalu lama, dengan mendendangkan sebuah lagu cinta untuk memenangi hati si lelaki, mereka akhirnya kembali menjadi satu.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berada di studio rakaman, perasaan gembira, berderbar, semuanya ada! Macam tak percaya dibuatnya kerana apa yang saya impikan selama ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Proses rakaman berlangsung selama 2 jam sahaja kerana sebelum itu saya sudah pun melakukan persiapan dari segi mental dan fizikal melalui sesi latihan vokal bersama guru profesional, Cikgu Sarah Ismail yang disediakan oleh pihak pengurusan,” tambah Yunadia lagi.

Yunadia mengidolakan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Hael Husaini.

Meminati penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza kerana personalitinya yang rendah diri, dan Hael Husaini kerana keunikan suara yang dimilikinya, Yunadia berhasrat untuk menjadi seperti mereka pada suatu hari nanti.

“Saya sangat mengidolakan mereka berdua kerana kedua-duanya mempunyai pencapaian yang membanggakan sebagai anak seni. Perjalanan saya dalam bidang seni masih lagi jauh, saya ibarat sebuah gelas kosong yang perlu diisi dengan air, dan banyak lagi yang perlu saya pelajari.

“Terima kasih kepada pihak AEG sekali lagi kerana menyediakan platform bagi saya untuk menunjukkan bakat sebagai seorang artis, kita perlu yakin pada masa dan prosesnya. Selain itu, sokongan keluarga dan rakan-rakan yang tidak berbelah bagi menaikkan lagi semangat saya untuk lebih berusaha dalam menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya,” ujar Yunadia.