Zarina Anjoulie tidak mengaku bersalah terlibat dadah

SELEBRITI kontroversi, Zarina Anjoulie hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas dakwaan menggunakan dadah jenis methamphetamine pada Jun lalu.

Pengakuan itu dibuat sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, selebriti kontroversi itu dikatakan menggunakan dadah berkenaan sewaktu berada di sebuah rumah di Kampung Chalet di Nilai pada 29 Jun lalu.

Pendakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM 2,000 dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Zarina diwakili peguam Fadhli Sutris dan Ahmad Faiz Munawar.

Media sebelum ini melaporkan, pelakon berkenaan ditahan oleh sepasukan polis kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, wanita itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dicekup sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang membuat serbuan ke rumah berkenaan.