Will Smith akhirnya mohon maaf tampar Chris Rock – “Saya melampaui batas”

AKTOR Hollywod terkenal Will Smith akhirnya mengakui tindakannya menampar pelawak Chris Rock di Anugerah Oscar adalah perkara yang salah dan keterlaluan.

Will Smith dalam satu kenyataan menerusi laman media sosialnya awal pagi tadi, dia menjelaskan tidak dapat menerima tindakan pelawak itu kerana ia sangat menyentuh emosinya.

“Keganasan dalam semua bentuk adalah beracun dan merosakkan. Tingkah laku saya pada malam itu tidak boleh diterima dan dimaafkan.

“Gurauan soal perbelanjaan saya adalah sebahagian dari apa yang dirancang, namun gurauan mengenai isu kesihatan Jada (isteri) adalah agak berlebihan bagi saya hingga perkara tersebut telah mempengaruhi emosi,” tulisnya.

Dalam pada itu, Will juga turut melafazkan permohonan maaf secara terbuka yang dituju khas kepada Chris.

“Saya secara terbuka memohon maaf kepada anda, Chris. Saya memang di luar kawalan dan saya salah.

“Saya malu dan tindakan saya tidak menggambarkan (sifat) seorang lelaki yang saya mahu jadi.

“Tidak ada tempat untuk keganasan dalam dunia yang ada (nilai) cinta dan kebaikan,” tulisnya lagi.

Dalam masa sama, Will turut memohon permohonan maaf secara terbuka kepada Academy dan semua penonton yang menyaksikan peristiwa itu semalam.

“Saya juga turut memohon maaf kepada pihak Academy, penerbit dan kepada semua yang hadir dan yang menonton rancangan tersebut di seluruh dunia.

“Kepada keluarga Williams dan King Richard Family saya juga mohon maaf.

“Saya benar-benar menyesal dengan apa yang telah saya lakukan yang sepatutnya menjadi satu perjalanan atau kenangan yang indah dicemari dengan perbuatan itu,” tulis Will Smith.

Semalam, Will Smith menggemparkan seluruh dunia hiburan apabila dia bertindak memukul muka Chris Rock di atas pentas secara terbuka.

Tragedi memalukan tersebut berlaku secara terbuka di pentas semasa pelawak itu sedang mengacarakan majlis Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94  semalam.

Difahamkan, segalanya bermula apabila Chris Rock membuat kenyataan berbaur jenaka mengenai isterinya, Pinkett Smith.

Bagaimanapun kenyataan ‘jenaka’ yang diumum secara terang-terangan itu didengari ramai dan dipandang serius oleh Will Smith sendiri.

Kenyataan itu mendorong Smith untuk berdiri dan naik menuju ke pentas, namun pengacara itu masih bergurau dengan ayat “Uh oh..”.

Smith kemudiannya terus memukul Chris di bahagian mukanya, lalu terus turun dari pentas dan kembali ke tempat duduknya.

Chris Rock yang baru dipukul itu kelihatan terkejut dan berkata, ” Will Smith baru sahaja memukul saya,”

Smith pula yang baru sahaja duduk di tempatnya semula berkata, “Jauhkan nama isteri aku dari mulut kau,”

“Wah kawan itu lawak G1 Jane 2,” kata Chris Rock lagi, terus menyindir.

“Jauhkan nama isteri aku dari mulut kau!” jerit Smith kepada pengacara itu sekali lagi.

Namun Chris Rock tetap ‘berjenaka’ dengan menjawab, “Ini adalah malam yang terhebat dalam sejarah siaran televisyen,” sebelum menyampaikan anugerah Dokumentari terbaik.

Sumber: SiakapKeli