Syamsul failkan nusyuz terhadap Puteri Sarah, dakwa Puteri masih berhubung dengan bekas kekasih

PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Syamsul, 39, yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan itu jam 3.10 petang, hari ini.

Syamsul memberitahu Harian Metro yang dia bertindak memfailkan permohonan berkenaan terhadap Puteri Sarah selepas mendakwa isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang juga berstatus suami orang.

“Saya sudah lama memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini tiada suami yang boleh terima isterinya curang dengan suami orang lain.

“Kesilapan saya selama ini mungkin saya diam sehingga kedua ibu bapa menghentam saya. Saya bukan nak membalas terhadap Sarah tetapi orang perlu tahu hal sebenar,” kata Syamsul kepada Harian Metro.

Sumber gambar – Instagram

Antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Menurut Syamsul, dia terkejut dengan dakwaan yang mengatakan dia pernah memukul isterinya pada 2020.

“Saya lelaki yang tidak mahu kongsi hal rumah tangga pada umum. Orang tak tahu apa yang berlaku dan hanya dengar sebelah pihak sahaja sehingga terus menghakimi.

“Saya berdiam diri kerana fikirkan Sarah masih ibu kepada anak-anak saya. Saya tidak mahu bercerita buruk mengenainya.

“Minggu lepas saya terkejut bila dia menuduh saya memukulnya selepas saya enggan menceraikannya. Itu adalah fitnah. Mungkin dia marah dan benci saya tapi adakah sampai tahap menfitnah saya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Azmi memberitahu pihaknya akan menghantar notis saman kepada Puteri Sarah dalam waktu terdekat memandangkan tarikh sebutan kes akan berlangsung pada 6 April ini.

Sumber gambar tajuk – Harian Metro | Sumber laporan – Harian Metro