Neelofa, PU Riz akan dipanggil polis isu rentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3

POLIS menjalankan siasatan terhadap gambar dan video selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz yang dipercayai berada di sebuah premis perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan pada 3 Mei.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya akan memanggil pasangan selebriti tersebut untuk memberi keterangan dalam masa terdekat, lapor Sinar Harian.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan kawalan Pergerakan Bersyarat (No4) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Sinar Harian.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas bekas pengacara program Meletop itu terus mencetuskan kontroversi di media sosial apabila sekali lagi dia didakwa ‘merentas negeri’ ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai, Negeri Sembilan.

Neelofa dipercayai memuat naik video di Instagram Story menunjukkan dia berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai 3 pada Ahad sebelum memadamnya hantaran tersebut.

Tindakan usahawan selebriti itu sekali lagi mengundang sensasi di kalangan netizen susulan tindakan beraninya ‘merentas negeri’ dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Terdahulu, Neelofa bersama keluarganya serta PU Riz dikompaun sebanyak RM60,000 secara keseluruhan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB ketika majlis perkahwinannya yang berlangsung pada 27 Mac lalu.

Sumber: Sinar Harian