Neelofa dan keluarga buat hal langgar SOP lagi?

SELEBRITI sensasi tanah air, Neelofa, 32, terus menjadi perhatian warganet di media sosial baru-baru ini apabila tersebar pula video pendek meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama ahli keluarganya.

Video berdurasi 27 saat dengan kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia” itu, menyaksikan kakak Neelofa, Noor Nabila sedang bersalaman dengan ibu bapanya, dipercayai tidak sengaja dikongsikan seketika oleh Nabila di Instagramnya.

Walau bagaimanapun, netizen memang begitu cekap dan pantas kerana ada yang sempat memuat naik semula video tersebut walaupun video tersebut sudah dipadam oleh Nabila di media sosialnya.

Hal itu, membuatkan beberapa netizen tidak berpuas hati dan bengang dengan Neelofa termasuk keluarganya. Malah, pengacara dan usahawan terkenal itu disifatkan sangat berani melanggar undang-undang yang sudah beberapa kali dilakukannya.

Belum lagi reda isu merentas negeri yang dilakukan pada Ramadan lalu ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan bagi tujuan membeli karpet.

Kini, timbul pula kisah baharu berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang ditetapkan. Terdapat pelbagai luahan panas dan berbaur kecaman ditulis netizen di Twitter berhubung dakwaan isu melanggar SOP lagi yang dibuat Neelofa dan keluarganya kali ini.

Sehubungan itu, sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini kerajaan mengumumkan selain tidak boleh merentas negeri dan daerah, tidak dibenarkan juga sebarang aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya sepanjang PKP dilaksanakan.

Dalam pada itu kes Neelofa dan suaminya, Haris Ismail merentas negeri ke Nilai juga masih disiasat meskipun kedua-dua mereka sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai bagi memberikan keterangan.

Terdahulu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran merentas negeri selain pada 27 Mac lalu, Neelofa selamat bernikah dengan suaminya, Haris atau lebih dikenali PU Riz, dan kemudian pasangan ini ke Langkawi, Kedah atas urusan perniagaan, tetapi mencetus sensasi apabila banyak aktiviti dibuat mereka seperti berbulan madu.

Sumber: HMetro