Jaga sensitiviti Umat Islam, Pulau Pinang Minta Konsert Viral Lagu-Lagu Tik Tok Dibatalkan

Foto: Utusan

GEORGE TOWN, 24 Ogos- Kerajaan Pulau Pinang hari ini memohon Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk membatalkan kelulusan konsert Viral Lagu-Lagu Tik Tok yang dijadual berlangsung pada 30 September depan di Dewan Milenium, Kepala Batas.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan, konsert tersebut mendapat bantahan penduduk setempat kerana dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert itu dan selaku Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, saya telah meminta pihak MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan, bagaimanapun pihak penganjur memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

“Warga setempat (Kepala Batas) telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 telah tular sejak Selasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebooknya turut menyatakan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Katanya setelah mendapat maklumat terperinci beliau telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada Datuk Bandar MBSP Datuk Azhar Arshad.

“Penganjuran konsert hiburan sebegini, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya.