Hairi Galak ‘Influencer’ Ambil Kelas Lakonan Dahulu Baru Turun Ke Lokasi Penggambaran

Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pelakon dan aktivis teater, Hairi Safwan, 35, menegur artis baru dari kalangan pempengaruh media sosial dan ‘content creator’ supaya tidak sombong untuk belajar dan bertanya dengan pelakon senior (lama) di lokasi penggambaran.

Memurut Hairi yang juga pensyarah sambilan (teater bangsawan) di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), dia juga menasihatkan artis baru kalangan pempengaruh media sosial supaya mengambil ‘acting coach’ atau kelas lakonan sebelum terjun dalam bidang lakonan.

“Artis baru perlu tahu bidang lakonan drama dan filem adalah dua perkara yang berbeza.

“Pada pemerhatian saya, ramai artis baru kalangan pempengaruh media sosial, lakonan mereka ‘hancur’ dan tiada penghayatan sekali gus boleh merosakkan industri seni tanah air,” katanya kepada Harian Metro.

Hairi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton Panggung RTM untuk sambutan Hari Kebangsaan berjudul Angin di Wisma TV, Angkasapuri, di sini, hari ini.

Telefilem arahan Danny Alamsyah ini diterajui Hairi dan pelakon Nadiya Nissa selaku teraju utama. Selain itu, Ia menampilkan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Taufiq Hanafi, Amanda Tan dan ramai lagi.

Ditanya pengalaman bekerja dengan pempengaruh media sosial, kata Hairi, dia pernah berlakon dengan mereka sebelum ini.

“Saya pernah berlakon dengan seorang pempengaruh media sosial tetapi hanya satu babak sahaja dengannya.

“Bayangkan untuk satu babak sahaja, kami terpaksa buat babak itu beberapa kali dari malam sampailah ke jam 6.40 pagi baru selesai,” katanya.

Pada masa sama, kata Hairi, banyak artis baru dari kalangan pempengaruh media sosial juga ‘dibuli’ pelakon lama di lokasi kerana sikap sombong mereka itu.

“Ada yang datang ke lokasi terus buka akaun TikTok dan terus buat ‘live’ bukannya buat persediaan dengan bertanya pelakon senior untuk menjiwai watak mereka.

“Saya juga diberitahu ada artis baru kalangan pempengaruh ini ‘demand’ dari segi bayaran dan letak harga sama dengan pelakon watak utama,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hairi, dia tiada masalah untuk membimbing artis baru dari kalangan pempengaruh media sosial asalkan mereka serius untuk belajar ilmu lakonan serta tidak main-main di lokasi penggambaran.

Sumber: Harian Metro