Home Hiburan Filem Polis Evo 3 Kutip RM3.4juta Pada Hari Awal Tayangan

Filem Polis Evo 3 Kutip RM3.4juta Pada Hari Awal Tayangan

Foto : IMDB

Filem Polis Evo 3 yang mempamerkan aksi komedi tanpa henti membuktikan kecemerlangan apabila mencatat kutipan keseluruhan RM3.4 juta, termasuk tayangan awal pada hari pembukaan tayangan rasminya semalam.

Kutipan ini membuktikan ia berjaya mengetepikan filem antarabangsa, FAST X dengan kutipan melebihi 2 kali ganda semalam, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam, lapor Harian Metro.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya bersyukur dengan sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 yang amat luar biasa. 

“Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan dan dikesempatan ini saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudah menyaksikan Polis Evo 3 di pawagam. 

“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan Polis Evo 3. 

“Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan filem antarabangsa ini juga selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. 

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi. 

Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.

Polis Evo 3 mengisahkan mengenai Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. 

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. 

Sumber : Harian Metro