Farid Kamil akui bakat lakonan anak

Anak sulung Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle, Muhammad,7, bakal muncul sebagai pelakon dalam filem arahan bapanya Remp-It 2. Berkongsi pengalaman berlakon bersama anak sendiri, kongsi Farid dia akui anaknya itu mempunya magis tersendiri.

“Apabila skrip disiapkan memang kami perlukan seorang pelakon kanak-kanak. Saya melihat Muhammad mempunyai minat dalam bidang lakonan dan mempunyai kepakaran dalam membawa motosikal.

“Saya melihat dia sebagai seorang pendatang baharu dah mampu memberikan komitmen yang baik. Tetapi cabaranya bila waktu malam, kami perlu melakukan penggambaran kembali kerana sudah melepasi waktu tidurnya,” katanya

Tidak melatih anaknya sendiri kata Farid dia memberi kepercayaan kepada Dr Norzizi Zulkifli untuk membantu anaknya sebelum terjun ke dalam dunia lakonan.

“Bila menjadi penerbit, pengarah dan pelakon dalam waktu yang sama memang tidak dinafikan kita ada kekangan waktu. Jadi saya menghantar anak saya ke Dr Norzizi Zulkifli selama hampir dua bulan untuk kelas lakonan.

“Alhamdulilah bila dia di set, Muhammad nampak cukup bersedia berlakon. Memang dia meminta untuk berlakon dalam filem aksi, tetapi saya kata dia belum sampai tahapnya lagi,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada anaknya selepas ini akan lebih aktif dalam bidang lakonan kata Farid dia dan isterinya mahu anaknya itu memberi tumpuan dalam bidang pelajaran dahulu.

“Buat masa ini saya hanya akan benarkan Muhammad berada dalam produksi saya dahulu. Sehingga dia remaja, sebab kami mahu dia memberi fokus kepada pelajaran,” katanya.

Selain Farid dan Muhammad, Remp-it 2 turut membariskan pelakon hebat antaranya Niezam Zaidi, Julia Hana, Cat Farish dan ramai lagi.

Remp-it 2 sepatutnya ditayangkan pada 2 Februari , namun terpaksa ditunda ke Ogos atas beberapa perkara tak dapat dielakkan.