DATUK Seri Aliff Syukri, 37, memohon maaf jika tindakannya menari bergelek dengan penyanyi, Ifa Raziah menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.
Aliff berkata, apa yang dilakukan bersama Ifa itu hanya gurauan dan hiburan semata-mata serta tidak perlu diperbesarkan.
“Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya tarian bersama Ifa itu membuatkan netizen kurang senang dan marah. Manusia ini tidak lari daripada buat kesalahan.
“Hidup ini perlukan lawak, perlukan manja. Jadi saya hanya bergurau, bukan ada adegan memegang punggung atau bersentuhan. Jadi fikir positif sajalah,” katanya.
Sebelum ini, video yang dimuat naik Ifa di Instagram dan TikTok memaparkan dia bersama Aliff sedang bergelek sambil menggoyangkan punggung.
Aksi itu telah menerima kecaman netizen dan rata-ratanya meluahkan rasa kesal dengan perangai mereka yang dilabel sebagai tidak sedar diri.
Mengulas lanjut mengenai tarian berkenaan, Aliff berkata, perkara itu bergantung kepada tafsiran pemikiran masing-masing.
“Sebenarnya waktu itu kami sedang membuat video TikTok dan tariannya pula hanyalah goyang dan pusing saja.
“Kalau anda fikir negatif maka negatiflah jadinya. Contoh tarian tangan yang pusing-pusing tu (merujuk kepada lagu Flower oleh Jisoo Blackpink), kalau terfikir pusing lain jadi lainlah maksudnya.
“Kalau berfikiran negatif, segalanya pun akan kelihatan tidak baik. Kalau fikir positif maka positif jadinya,” katanya.
Sumber gambar & laporan – Harian Metro