“Buat Konsert Hiburan Alternatif Sebagai Cara Halus Untuk Membantah Penganjuran Konsert Coldplay di Malaysia” – PU Amin

PU Amin | Gambar : Kosmo

Pendakwah bebas, PU Amin menyarankan konsert hiburan alternatif adalah cara halus untuk membantah penganjuran Konsert Coldplay di negara ini.

Menurut PU Amin atau nama sebenar, Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 33, pihaknya membantah bukan secara vokal sebaliknya dengan menyediakan alternatif kepada orang ramai.

“Jika kita nak kata jangan pergi konsert itu ketika ini, semua itu dah tak sesuai sebab tiket sudah ‘sold out’ dan orang tetap akan pergi dan mereka akan mengamuk kalau tak dapat pergi.

“Jadi kita buat alternatif. Kita cakap jangan pergi, tak ada konsert, jadi apa alternatif yang kita tawarkan?

“Sebab itu kita buat majlis selawat yang ada nyanyian, gema dan irama tapi ada batasan,” katanya kepada Harian Metro.

PU Amin berkata demikian ketika mengulas penganjuran Konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada November nanti yang mendapat bantahan dari segelintir pendakwah dan agamawan sebelum ini.

Coldplay | Gambar : Wikipedia

Mengulas Konsert Coldplay lagi, kata PU Amin, untuk mengatakan sesuatu perkara itu haram, kita tidak berkata ‘direct’ ia adalah haram.

“Dulu saya bersifat begitu, buat bantahan kepada nama besar dan orang cakap, saya tumpang populariti artis.

“Dari segi publisiti kita dapat, tapi kesan kepada masyarakat tak dapat. Pengikut memang naik di media sosial tapi dari aspek hala tuju dakwah tak dapat.

“Jadi, kita sokong hiburan alternatif yang lebih mendidik jiwa, contohnya ketika Blackpink datang Malaysia, Raihan juga buat konsert. Mereka membantah dengan cara begitu. Saya rasa ia lebih relevan dan berjaya menarik jiwa orang muda. Saya rasa itu bantahan paling sopan,” katanya.

Sumber : Harian Metro