Bell Buktikan Dia Mampu Berdiri Sebaris Wajah Popular

Foto : BebasNews

Watak Barkoba iaitu lelaki yang malas puasa dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa nyata memberi tuah kepada pelakon dan pelawak, Bell Ngasri apabila muncul antara 10 artis meraih undian terkumpul tertinggi pada saingan Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.

Selain Bell, sembilan artis lain yang mendahului undian Top 5 adalah Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.

Bell menyifatkan kejayaannya berada dalam kelompok 10 artis undian tertinggi sebagai satu pengiktirafan kepada artis senior.

Hampir empat dekad berada dalam dunia seni, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri berkata, sebagai wakil artis seangkatannya, kejayaan awal itu membuktikan usia bukan penghalang untuk artis senior berdiri sebaris dengan bintang muda lain.

“Kalau lihat senarai calon, usia mereka jauh lebih muda daripada saya. Saya menceburi bidang seni sejak berusia 6 tahun.

“Malah, kalau diukur dari segi pengikut dalam media sosial, jumlah mereka lebih tinggi daripada saya.

“Tetapi, saya melihat sokongan yang diberi pengundi sebagai sesuatu yang positif. Ia membuktikan artis senior juga berpotensi menang kategori popular.

“Lebih membanggakan, pencalonan juga berdasarkan bakat dan hasil kerja seni saya menerusi watak Barkoba iaitu watak lelaki malas puasa,” kata Bell.

Foto : Utusan Malaysia

Bell membolosi kategori Artis Komedi Popular bersaing dengan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

ABPBH 35 yang julung kali dipentaskan di panggung seni utama negara, Istana Budaya (IB) pada 21 Julai ini, diajaibkan penaja utama, Fellera Skin.

Sumber : Berita Harian