Naimi, Remaja 17 Tahun Menjadi Pilihan Search Untuk Ganti Yazit

Foto : Berita Harian / Music Addicts Malaysia

Kelibat gadis remaja mengiringi persembahan kumpulan Search sebagai pemain dram pada Konsert Nusafest 2023 yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Sabtu lalu mencuri perhatian penonton yang hadir menyaksikan acara festival muzik itu.

Di sebalik keghairahan penonton melihat vokalis Search, Datuk Amy beraksi dengan diiringi ‘gorengan’ gitar daripada Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bass, Nasir Daud, ramai juga yang tertanya-tanya siapakah gerangan gadis berambut kerinting yang rancak mengetuk dram hingga mendapat pujian ramai.

Enggan membiarkan persoalan terus bermain dalam fikiran, Amy selepas menyampaikan dua lagu memperkenalkan gadis comel bernama Naimi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

“Namanya Naimi dan sangat berbakat bermain dram.

“Pagi, Naimi ke sekolah, manakala sebelah petang akan berlatih bersama kami di studio. Itulah rutinnya hingga hari ini,” kongsi Amy atas pentas sambil disambut dengan sorakan penonton yang mengagumi bakat dimiliki gadis itu.

Berkongsi lanjut mengenai pemilik nama lengkap, Naimi Daimi itu, Nasir berkata, gadis berusia 17 tahun itu bakal diserap sebagai pemain dram kekal Search.

“Naimi adalah pemain dram muda yang sangat berbakat pernah ditemui di Malaysia.

“Dia akan mengisi posisi posisi pemain dram berstatus tetap pilihan Search, walaupun kami mempunyai seorang lagi, Arthur,” kata Nasir kepada HIP.

Menyedari status Naimi yang masih bergelar pelajar, Nasir berkata, Search enggan memberi sebarang tekanan kepada gadis itu. Sebaliknya, mereka akan menunggu sehingga Naimi tamat belajar.

“Search menghormati status Naimi yang bakal berdepan peperiksaan besar, tahun ini. Oleh itu, kami tidak mahu Naimi rasa tertekan dengan jadual Search.

“Kami memberi masa kepada Naimi untuk menghabiskan pelajarannya sebelum diserap sebagai pemain dram kekal Search.

“Namun, Naimi akan bersama kami di setiap persembahan untuk menggali pengalaman,” jelas Nasir.

Sumber : Berita Harian