Rakyat Malaysia Terperangkap Banjir Di India Disahkan Selamat

Foto : Kosmo

Seramai 10 rakyat Malaysia yang dilapor terperangkap di Himachal Pradesh, India berikutan banjir teruk, disahkan selamat dan dijangka tiba di New Delhi hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, dua mangsa rakyat China dan British turut terperangkap.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi ingin mengesahkan sudah dapat berhubung dengan seorang daripada 10 rakyat kita dan mereka berada dalam keadaan selamat di Manali.

“Dua warga asing itu juga dilaporkan selamat,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha membawa keluar kumpulan berkenaan hari ini.

“Sekiranya rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan berkenaan dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari sama.

“Kementerian ini ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan oleh pihak berkuasa India dalam usaha mengesan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Hujan monsun lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa bahagian utara India, dengan Himachal Pradesh negeri yang paling teruk terjejas.

Sumber : Berita Harian