Ayda Jebat Tidak Sangka Ramai Risau, Jelaskan Diri Dan Bayinya Baik-Baik Sahaja

Foto: Beautifulnara

Kuala Lumpur : Aksi lincah penyanyi, Ayda Jebat yang kini hamil lima bulan ketika menjayakan persembahan di Bukit Jalil, kelmarin mengundang pelbagai reaksi dan kebimbangan peminatnya.

Ayda yang membawakan lagu Temberang, Nakal Nakal Nakal dan Gangnam Style nyanyian asal PSY pada acara itu dikatakan tidak sesuai dengan dirinya yang berbadan dua.

Ayda berkata, ketika menjayakan persembahan itu dia masih berhati-hati dan tidak selincah seperti kebiasaannya.

“Semuanya okey dan berada dalam keadaan terkawal. Takkanlah saya tergamak nak membahayakan nyawa diri dan kandungan.

“Cuma saya sedar dalam keadaan sedang hamil ni saya tidak sepatutnya terlalu lincah dan perlu lebih berhati-hati. Namun, disebabkan lagu itu berentak rancak dan melihat maklum balas pengunjung yang begitu ‘sporting’, saya pun terus menari bersama dan terlupa walaupun Nabil (suami) sentiasa menegur dan mengingatkan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ayda turut berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mengambil berat dan bimbang dengan keadaan diri dan anak dalam kandungan.

“Saya tak sangka begitu ramai yang ambil peduli dan risaukan keadaan diri saya. Apabila membaca komen saya terus rasa bersalah dan tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

“Alhamdulillah saya dan bayi semuanya baik-baik saja. Terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kebaikan saya dan anak,” katanya.

Terdahulu, terdapat beberapa pengguna TikTok yang meluahkan rasa bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap bayi dalam kandungan penyanyi berusia 31 tahun itu sewaktu menjayakan acara itu.

Sumber: Harian Metro