Anugerah MeleTOP Era (AME) 2020 tangguh

Susulan penularan wabak coronavirus (COVID-19), Anugerah MeleTOP Era (AME) 2020 yang dijadualkan untuk berlangsung pada 12 April ini ditunda kepada suatu tarikh baharu.

Tindakan itu diambil sejajar dengan pengumuman yang dibuat pihak kerajaan untuk menangguhkan sebarang perhimpunan, termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan sehingga 30 April ini.

Walaupun begitu sehingga saat ini pihak Astro kini masih belum mengumumkan tarikh baharu dan sedang mengemaskini infomasi mengenai Covid-19 selain mempertimbangkan faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi dan kesesuaian tarikh para selebriti tanah air.

Dalam pada itu, sesi undian fasa kedua untuk mengundi senarai Top 5 bintang kegemaran  yang telah dibuka sejak 3 Mac lalu akan diteruskan seperti biasa menerusi laman web rasmi AME 2020 di www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS hingga ‪12 April 2020, jam 12.00‬ tengahari. Kiraan penuh undian untuk penganjuran AME 2020 juga akan terus dibuat sejurus selepas talian undian ditutup, mengikut perancangan asal.