Andmesh Jatuh Hati Dengan Mi Goreng Mamak Di Malaysia

Penyanyi Popular Indonesia, Andmesh | Gambar : Pop Hari Ini

“Soalan pertama saya kepada rakan-rakan yang pernah tampil mengadakan konsert di Malaysia, adalah, ‘di mana tempat makan enak?'”.

Demikian kata penyanyi dari Indonesia, Andmesh Kamaleng ketika ditemui Harian Metro di sesi sidang media Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur, hari ini.

Andmesh berkata, dia jatuh hati dengan mi goreng mamak dan juga teh ais.

“Saya suka mi goreng mamak. Bukan setakat makan di restoran, saya siap bungkus lagi. Bagi saya, perisanya lengkap dengan rempah dan sebagainya.

“Awalnya, saya suka teh manis. Tapi, bila ke sini, saya tersalah pesan dan minta teh ais. Saya fikir, ia adalah teh manis atau teh o ais, tapi rupanya, teh ais itu adalah teh bersusu.

“Jadi, dari situ, saya mula jatuh cinta dengan teh ais,” katanya.

Mi goreng mamak dan teh ais | Gambar : Foursquare

Menyambung cerita mengenai rujukannya kepada rakan-rakan seperti Rizky Febian dan Mahalini yang terlebih dahulu mengadakan konsert di Kuala Lumpur, Andmesh bertanya mengenai sambutan peminat di sini.

“Saya selalu meletakkan satu prinsip dalam diri saya iaitu, untuk wujudkan idea kreatif sendiri. Saya tanya mereka, bagaimana dengan sambutan daripada peminat dan penonton di Malaysia. Mereka beritahu, peminat di sini ‘asik’ (menyeronokkan),” katanya.

Andmesh hadir ke sesi sidang media yang berlangsung di The Curve Mutiara Damansara dan mempersembahkan dua lagu popularnya, Cinta Luar Biasa dan Hanya Rindu.

Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 4 Jun ini bertempat di Dewan Plenary KLCC.

Sumber : Harian Metro