Anak Achey Teringin Berniaga, Berjaya Jual 3,000 Pek Gula-Gula Dalam Masa 2 Jam

Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Dalam masa dua jam, anak pelawak terkenal Achey, Nur Tiara Zinnirah berjaya menjual 3,000 pek gula-gula menerusi TikTok, semalam.

Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah berkata, anaknya, Nur Tiara yang berusia 5 tahun berjaya menjual pek campuran pelbagai jenis gula-gula menerusi ‘live’ (siaran langsung).

“Kakak, cadangan kakak nak buat candy ini gila-gila. Mama dengan ayah meniaga pun tidak macam ini kakak. Dalam ini habis semua gula-gula kakak. Untuk perniagaan yang pertama Tiara, sold out (habis dijual),” jelasnya.

Lebih mencuit hati, anak tunggal pelawak itu sempat tertidur semasa ibu bapanya sibuk menjual produk perniagaan pertamanya dan ‘live’ tersebut mendapat 21,000 tontonan dan dan 21 juta tanda suka.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna media sosial memuji usaha Achey dan pasangan yang dilihat menyokong minat anak mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan.

“Bagus cara mereka didik Tiara, tiada sangat protokol anak seorang artis, bagi Tiara jalani hidup seperti kanak-kanak yang lain,” kata Ina.

“Sangat merendah diri cara dia ajar anak dia. Sederhana itu lebih baik, moga sentiasa mengalir rezeki untuk keluarga dan Tiara,” komen seorang pengguna.

Di samping itu, ada juga yang berpendapat Tiara mungkin boleh mengeluarkan produk berjenama sendiri setelah melihat sambutan yang diberikan peminatnya.

“Tiara kena buat produk Tiara ni, produk budak-budak kan. ‘Market’ (pasaran) dah ada tu,” ujar seorang pengguna. 

Sumber: Kosmo