Airliftz Kembali Dengan ‘Perisa’ Baru Yang ‘Fresh’ Dalam Lagu Terbaru ‘Princess Bubblegum’

Foto : Kosmo

Buat mereka yang sinonim dengan muzik pop atau hip hop moden Inggeris tempatan, bakat yang dimiliki pemuda dengan nama pentas Airliftz itu tidak perlu dipertikaikan lagi.

Selain bergelar seorang penyanyi rap, Airliftz yang berusia 25 tahun itu juga merupakan seorang penulis dan juga penerbit muzik.

Kini, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu kembali menunjukkan ‘belang’ dengan penghasilan karya pop dengan single terbaharunya berjudul ‘Princess Bubblegum’.

Airliftz pernah berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa seperti Anderson Paak dan Joji.

Berbekalkan pendengar dari seluruh Asia Tenggara, Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Airliftz yang kini bernaung di bawah label syarikat rakaman RedRecords sekali gus bakal menggegarkan pentas industri tempatan dengan muziknya yang bernuansa tersendiri.

Untuk buah tangan baharunya itu, Airliftz menyuntik mesej tentang cinta dan kerinduannya menerusi lirik dan irama.

Jemu dengan formula pop generasi masa kini, Airliftz membawakan campuran ‘perisa’ dan pendekatan yang lebih segar tentang perasaan angau ketika dalam fasa kemaruk bercinta.

Mengambil tajuk lagu yang diinspirasikan oleh watak Princess Bubblegum dari siri animasi terkenal, Adventure Time, lagu tersebut ditulis dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Pendengar akan disajikan dengan saduran bunyian jazz, afrobet dan R&B alternatif.

“Untuk projek kali ini, saya bergabung tenaga dengan artis dan penerbit serba boleh, Shelhiel untuk merealisasikan dunia Princess Bubblegum dalam bentuk sebuah lagu,” ujarnya.

Bercakap soal cabaran untuk menghasilkan Princess Bubblegum, Airliftz mengakui perlu menjadi diri sendiri dan bersahaja untuk menghasilkan karya tersebut.

“Bagi saya, cabarannya ialah untuk saya menjadi diri sendiri dan bersahaja dalam berkarya,” jelasnya.

Muzik video yang telah dilancarkan pada 26 Mei lalu itu turut menyaksikan Airliftz mempamerkan bakatnya dalam menari tarian ‘ballroom’.

“Muzik video (MV) ini cukup sempurna bagi saya sebagai seorang lelaki Melayu Islam yang mahu cuba memecah sempadan dalam berkarya.

“Konsep MV yang ditampilkan mungkin agak sedikit seksi dan erotik, tetapi tidaklah keterlaluan.

“Saya mahu pendengar memahami bahawa terdapat banyak cabang muzik selain aliran perdana. Saya mahu pendengar merasai getaran dan membenarkan diri untuk berasa seksi dan berkeyakinan,” tambahnya.

Selepas cemerlang dengan single Not Today, Honest dan Smile Strong, Princess Bubblegum yang menjadi karya keempatnya bersama RedRecords kini tersedia dalam semua laman penstriman muzik seperti iTunes dan Spotify.

Sumber : Kosmo