Warga asing ditahan rentas negeri guna borang kebenaran palsu, beli dengan harga RM200

DUA lelaki warga asing ditahan apabila didapati menggunakan dokumen rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM200 di sekatan jalan raya Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pegawai dan anggota polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang menuju ke Kuantan pada jam 1.30 petang semalam, lapor Berita Harian.

“Dalam pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati warga asing terbabit berusia 24 dan 27 tahun dalam keadaan meragukan dan apabila diperiksa mendapati menggunakan dokumen kebenaran rentas negeri yang dipalsukan.

“Hasil siasatan dokumen berkenaan disalin semula daripada yang asal dan digunakan kembali. Kedua-dua suspek juga akhirnya mengaku dokumen berkenana diperoleh daripada seorang rakannya dengan bayaran RM200 sehelai.

“Selain itu, kedua-dua suspek itu juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan IPD Bentong.

Zaiham berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan sebatan.

Suspek itu juga boleh didakwa mengikut seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 pula, dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-dua sekali dan turut boleh dikenakan enam kali sebatan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada empat penumpang bas yang sama berusia antara 21 hingga 37 tahun yang menghala ke pantai timur kerana tiada surat rentas negeri.

Semua penumpang itu dikompaun mengikut Akta Peraturan 25 (A) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.

Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya antara negeri di daerah itu yang membabitkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi mengekang pandemik COVID-19.

Sumber: Berita Harian