Wanita Hina Islam Di Kelab Komedi Akhirnya Mengaku Bersalah, Didenda RM8,000

Seorang wanita yang pernah menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, telah didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Siti Nuramira Abdullah, 27, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, semasa perbicaraan kes di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Susulan daripada itu, mahkamah memerintahkan Siti Nuramira dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut bahawa dia seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung dan menanggalkan baju kurung.

Kesalahan dilakukan sewaktu persembahan di atas pentas, di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.

Gambar : Vocket

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob sementara tertuduh diwakili peguam, R Sivaraj.

Semasa prosiding, Abdul Malik berkata, Siti Nuramira telah memfailkan representasi berhubung kes ini pada 16 Mac lalu dan ia telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh,” katanya.

Sejurus dia menukar pengakuan kepada bersalah, pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tersebut telah mengundang perhatian orang ramai.

Walaupun hukuman di bawah seksyen itu lebih ringan namun beliau berkata, ia tidak bermaksud kesalahan tertuduh adalah tidak serius.

Sumber : Sinar Harian | Gambar : WOB