PENGERUSI Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytihar kesemua hartanya bagi membuktikan beliau bersih dan tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.
Beliau hairan dengan tindak-tanduk Perdana Menteri itu akhir-akhir ini yang sering mengulangi pendirian konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan beliau mempunyai berpuluh-puluh kotak bukti berkaitan tuduhan berkenaan, lapor Sinar Harian.
“Kalau sudah ada dedahlah dan dakwalah di mahkamah. Tetapi tidak.
“Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu daripada pemimpin lama yang dituduh bantu kroni,” ciapnya menerusi Twitter pada hari Isnin.
Beliau juga mendesak Anwar supaya mendedahkan kekayaan sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang dan membantu rakyat dengan menggunakan duit sendiri, bukan duit kerajaan.
“Pada masa yang sama, Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.
“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya,” ujarnya
Anwar turut digesa untuk membuktikan kekayaan bekas Perdana Menteri itu kepada mahkamah agar pengisytiharan kekayaan itu diketahui dunia.
Sumber : Sinar Harian