Tiga Hilang, 25 Kru Selamat Dalam Tragedi Kapal Tangki Terbakar

TIGA hilang manakala 25 kru lagi selamat selepas sebuah kapal tangki asing terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut di Tanjung Sedili dekat sini pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian itu pada jam 4 petang.

“Susulan itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seramai 23 kru lagi berjaya diselamatkan oleh dua kapal berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, baki tiga lagi kru dilaporkan masih hilang dan identiti mereka sedang dikenal pasti manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Sumber gambar – Utusan Malaysia | Sumber laporan – Sinar Harian