“Minta doakan baik-baik. Mungkin ini ujian kami. Semoga Allah permudahkan segala urusan. “Saya mohon maaf jika saya tak dapat beri apa-apa penjelasan. Cukuplah itu saja. Biarlah hanya kami tahu. Dan, biar sampai bila-bila hanya kami saja yang tahu,” kata Zulin Aziz, 34, menerusi hantaran di Instagram Story.
Terdahulu, pelakon dan pengacara itu menimbulkan tanda tanya ramai apabila memuat naik foto pernikahannya dengan suami, Farhan Norzaini, 36, di Instagram berserta kapsyen yang membayangkan mereka sudah berpisah.
Tiada ribut, tiada angin tiba-tiba saja Zulin berkongsi kisahnya yang membuat ramai peminat dan pengikut media sosialnya terkejut dengan hantaran dibuat itu.
Apatah lagi, pasangan ini baru meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 20 Februari lalu.
Menerusi kapsyen ditulis, Zulin seolah-olah seperti cuba memaklumkan apa yang berlaku dalam hubungannya bersama suami kini disebabkan tiada persefahaman dan berharap masa akan merawat segala duka dirasai.
“Mungkin sampai sini saja kisah kami. Tiada persefahaman. Semoga yang baik-baik untuk masa akan datang. Insya Allah, masa merawat semuanya. Thanks for everything. Take care (terima kasih atas segalanya, jaga diri),” tulisnya berserta emoji hati berwarna merah terbelah dua.
Pada coretannya di Instagram Story, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz turut meminta agar permintaannya dihormati semua pihak diatas apa yang dikongsikan itu.
“Harap dapat hormati permintaan. saya. Hanya mohon doa kalian semoga kami dapat jalani kehidupan yang baik di masa depan dengan haluan masing-masing. Tidak ada apa yang mahu dikongsi. Semoga Allah jaga rapat aib kami.
“Saya bersama keluarga sekarang. Beri saya ruang dan waktu untuk ‘healing’ (tenang). I will come back stronger (Saya akan kembali lebih kuat). Thank you so much (terima kasih banyak),” tulisnya berserta emoji lengan berotot dan mohon maaf.
Meninjau di ruangan komen, netizen terkejut dan beranggapan mungkin ia strategi pemasaran.
Bagaimanapun, ramai di antaranya termasuk rakan selebriti mendoakan agar Zulin tabah, sabar dan kuat semangat dengan ujian dihadapi, lapor Harian Metro.
Pada pada 20 Februari tahun lalu, Zulin dan Farhan bernikah di Masjid Negara dalam majlis berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jawi).
Selama 14 bulan berumah tangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.
Sumber gambar tajuk – mStar | Sumber laporan – Harian Metro