Kuala Lumpur: Kerinduan Abdur Rahman Amir Ruddin terhadap ibu, Norahimah Noor Muhamad dan ahli keluarganya yang terkorban dalam kemalangan Kilometer (km) 5, Jalan Segamat-Kuantan sedikit terubat selepas menerima naskah al-Quran milik adiknya, Fatimatulzahrah.
Menerusi satu video tular, kelihatan seorang lelaki menyerahkan al-Quran kepada Abdur Rahman hingga pemuda itu menangis kerana gagal menahan sebak.
Naskhah al-Quran itu adalah pemberian ibu kepada adiknya, Fatimazatulzahrah sempena ulang tahun ke-16, tahun lalu.
Lebih menyedihkan, terselit nota ucapan dan pesanan Norahimah buat Fatimazatulzahrah bersama naskhah al-Quran berkenaan.
“Sanah Helwah (Selamat ulang tahun kelahiran) anakku. Tahniah kakak, 16 tahun sudah kakak bernafas dalam dunia ini.
“Ilmu itu cahaya. Tanpa cahaya pasti gelap dunia. Timbalah ilmu walau di mana berada.
“Susah senang itu adat dunia. Berikhtiar dan berdoa itu senjata kita.
“Jadi anak yang solehah insya-Allah,” tulis Norahimah.
Perkongsian video Abdur Rahman menerima naskhah al-Quran itu itu turut meruntun hati netizen yang rata-ratanya memahami kesedihan pemuda berkenaan.
“Menangis dik (adik) sepuasnya sebab kami yang tak mengalami pun sebak apalagi adik yang melalui.
“Semoga adik tabah dan kuat,” tulis pengguna TikTok, Juita Rashid.
“Allahu sebaknya, moga anak ini diberikan kekuatan untuk teruskan kehidupan.
“Ingat Allah tetap bersama,” tulis seorang lagi pengguna TikTok, Shimadinnn.
“Ya Allah aku yang sedih. Semoga adik kuat ya.
“Teruskan kehidupan biarpun tanpa orang yang kita sayang. Aku nangis tengok video ini,” tulis Rose Syg.
Terdahulu, Abdur Rahman diuji apabila kehilangan enam ahli keluarga yang maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya pada 1 September lalu selepas Perodua Alza dinaiki bertembung dengan sebuah lori.
Kemalangan di kilometer (km) 5, Jalan Segamat-Kuantan itu mengorbankan Norahimah, suaminya, Amir Ruddin Ismail, 46 serta empat lagi adik-beradik Abdur Rahman iaitu Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Dalam perkembangan terbaru, Abdur Rahman memaklumkan adiknya, Abdullah, 15, yang terselamat dalam kemalangan jalan raya itu dan sebelum ini ditidurkan mulai sedar dan mampu menggerakkan tangan.
Abdullah, 15, yang dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor.
Sumber: Harian Metro